TUMPAT SEBAGAI BANDAR WARISAN

 


Daerah Tumpat khususnya Bandar Tumpat merupakan sebuah kota warisan yang cukup berpotensi untuk dibangun dan dimajukan sesuai dengan tuntutan serta keperluan semasa terutamanya bagi pembangunan sektor pelancongan negara pada masa akan datang. Kelebihan Bandar Tumpat yang terletak di utara negeri Kelantan yang bersempadan dengan Selatan Thailand melalui Sungai Golok ini memiliki kedudukan geografi yang cukup jelas bagi menjamin kemajuan pada sektor pelancongan, khususnya dalam pembangunan warisan. Bandar Tumpat juga merupakan sebuah jajahan yang berpotensi untuk menjadi tarikan pelancong dengan memiliki banyak tempat menarik untuk dikunjungi. Selain tempat peranginan, Bandar Tumpat juga mempunyai bangunan - bangunan yang berstatus warisan yang masih belum dikenali oleh para pelancong sama ada pelancong domestik atau pelancong dari luar negara.

Dari segi etnik, Tumpat memiliki pelbagai etnik. Etnik Melayu merupakan etnik terbesar dan diikuti oleh kaum Siam, Cina, India, Sikh, Kemboja dan banyak lagi. Selain Masjid Bandar, terdapat juga pelbagai rumah ibadat untuk penganut agama lain seperti Buddha, Hindu, Cina, Kristian dan Sikh di sekitar daerah Tumpat yang masih digunakan sehingga kini oleh komuniti kaum ini. Di samping itu, Bandar Tumpat pernah menjadi pelabuhan yang cukup penting pada suatu masa dahulu kerana lokasinya yang menghadap Laut China Selatan dan pernah menjadi destinasi persinggahan kapal dagang dari Eropah, Cina, India, Kemboja dan Jepun. Manakala, di tengah - tengah bandar Tumpat pula, terdapat stesen kereta api yang menghubungkan laluan darat ke seluruh Semenanjung Malaysia hingga ke Singapura selain pengangkutan darat serta laluan sungai, yakni Sungai Kelantan hingga ke daerah Kelantan Selatan.

Antara tempat peranginan yang terdapat di Tumpat adalah Pantai Sri Tujoh dan Pantai Genting yang menjadi tumpuan orang ramai, khususnya pada hari minggu kerana sering diadakan pelbagai program persembahan seperti dikir barat, pesta wau, aktiviti sastera, ekspo dan pameran. Di Bandar Tumpat masih ada lagi bangunan - bangunan lama yang berstatus warisan seperti Rumah Dato' Kaya Budi, bangunan stesen kereta api, Tapak Pelabuhan Tumpat, rumah api dan pengkalan pendaratan bijih Jepun. Rumah Dato' Kaya Budi pula sedang dalam perancangan untuk dijadikan Muzium Pertanian bagi memperkenalkan alatan tradisional pertanian dan kesenian yang digunakan oleh para petani Kelantan. 

Daerah Tumpat juga terkenal dengan produk batik lukis yang terletak di Kampung Talak. Produk kraf tangan pula boleh didapati di Kampung Jal Kechik dan Kampung Gelang Mas. Manakala, Kampung Periok, Kampung Berangan dan Kampung Bunohan pula terkenal dengan pembuatan alat - alat muzik tradisional. Selain itu, tarikan pelancong yang berkonsepkan pertukangan berasaskan emas dan perak pula terdapat di Kampung Laut, Kampung Palekbang dan Wakaf Bharu. Pengeluaran makanan tradisional seperti serunding, dodol, gelembung buaya, keropok, kerepek dan agar - agar kering juga boleh didapati di Kampung Laut. 



Daerah Tumpat yang popular dengan pengeluaran hasil seni dan kraf tangan turut menyediakan ruang niaga seperti Laman Warisan Seni, Kampung Laut untuk memberi peluang kepada para usahawan tempatan mempamerkan serta menjual hasil seni dan kraf tangan tempatan. 

Kampung Laut, sebuah kampung warisan yang berkonsepkan "muzium hidup" atau "living museum" bukan sahaja untuk tarikan pelancong, tetapi untuk membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menjual makanan tradisional dan kraf tangan tempatan. Bengkel menghasilkan peralatan seni dan kraf tangan oleh penggiat seni turut memberi kelebihan dan nilai tambah apabila pengunjung boleh menyaksikan penggiat seni menghasilkan hasil seni mereka selaras dengan konsep 'muzium hidup'. Masjid Kampung Laut diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa - Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana mempunyai nilai sejarah, budaya dan seni bina, bahkan berpotensi untuk diwarisi sebagai mercu tanda destinasi pelancongan baharu di Kelantan.

Catatan sejarah membuktikan bahawa Daerah Tumpat adalah sebuah daerah yang paling ramai melahirkan tokoh - tokoh serta penggiat seni budaya tempatan tanah air dalam pelbagai bidang. Tokoh Anugerah Seni Negara, Hamzah Awang Hamat (Tok Dalang Wayang Kulit) juga berasal dari Tumpat, Kelantan. Kumpulan wayang kulit dan dikir barat juga banyak terdapat di Tumpat, di samping dikir laba, tari inai, main puteri, makyong, menora dan lain - lain. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Majlis Maulid Nabi Memberi Ketenangan?

KRITIKAN TERHADAP DRAMA "TERHENTINYA DOA"

SAJAK: CINTA RASULULLAH