KEUNIKAN PELAN LANTAI RUMAH TRADISIONAL MASYARAKAT DI SARAWAK
Pelan Lantai
Pelan Lantai Rumah Panjang Iban (Dayak)
Rumah panjang Iban ini nyatanya mempunyai ciri dan keunikan tersendiri sama ada dari segi keselamatan atau kebudayaan mengikut adat tradisi tempatan suku kaumnya. Rumah ini dibina berkonsepkan seperti panggung dengan ketinggian dalam tiga hingga tujuh meter dari tanah dan panjang dalam kiraan 138 meter. Ketinggiannya ini dipercayai adalah bertujuan untuk mengelakkan daripada ditimpa musibah yang sentiasa menimpa kawasan berhampiran daerah itu. Manakala kepanjangannya ini pula adalah untuk memuatkan jumlah kaum Iban yang ramai. Bilangan tiga tangga utama dengan bernombor ganjil juga menjadi faktor keunikan seni bina rumah ini kerana tangga ini dibina bersesuaian dengan bahan yang digunakan iaitu kayu. Dari segi binaan tiang juga berjenis kayu dan tidak mudah reput seperti kayu terbelian yang mudah didapati di Kepulauan Borneo. Rumah ini kebiasaannya memiliki sepuluh pintu bilik dan setiap keluarga mempunyai ruangan bilik sendiri manakala di bahagian hadapan rumah itu kebanyakannya menjadi tempat sesuatu aktiviti dilakukan. Tambahan lagi, suku kaum Iban juga mempunyai rumah-rumah sendiri yang dibina sementara waktu bagi melakukan aktiviti seharian seperti perladangan. Pembinaan rumah tunggal ini disebabkan kerana jarak antara ladang dengan tempat pemukiman penduduk iaitu Rumah Panjang sangat jauh. Teknik dan bahan yang digunakan dalam membina rumah panjang Iban ini ternyata membuatkan rumah tersebut lebih menarik dan menjadi daya tarikan para pengunjung untuk ke sana bagi melihatnya dengan lebih dekat.
Pelan Rumah Baruk Bidayuh
Seni bina Baruk sangat unik iaitu berbentuk bulat, bertiang 20 kaki tinggi, mempunyai serambi, ruang dalaman yang bulat dan luas, berdinding, berlantai papan kayu, beratap nipah kering, tingkap, bilik tidur, bilik mandi dan ruang penyambut tetamu serta terdapat tengkorak manusia yang tergantung pada siling. Lantaran itu, pembinaan setiap bahagian rumah Baruk ini dianggap mempunyai makna-makna tertentu bagi masyarakat Bidayuh. Rumah Baruk ini dibina daripada 100 peratus bahan mentah seperti kayu yang digunakan iaitu kayu belian kerana kayu tersebut mempunyai ketahanan yang sangat lama dan kuat serta buluh juga digunakan untuk membuat lantai. Manakala itu, pada bahagian atap pula menggunakan daun rumbia atau daun sagu kerana ia lebih tahan panas dan hujan. Kedudukan untuk pembinaan rumah Baruk hendaklah berada di tengah-tengah kampung dan ruang Baruk haruslah dapat memuatkan sejumlah besar penduduk kampung bagi memudahkan segala urusan yang akan dilakukan. Tambahan pula, tapak pembinaan Baruk hendaklah strategik dan dibina atas keadaan tanah yang baik. Di samping itu, ketinggian, saiz, jenis bahan yang digunakan dan juga bentuk Baruk di setiap kampung adalah berbeza namun seni binanya masih mengekalkan keaslian tradisional Baruk iaitu berbentuk bulat dan atapnya berbentuk kon. Selain itu, patung yang terdapat pada bumbung Baruk ialah burung kenyalang yang merupakan lambang Baruk tradisional. Dengan itu, jelaslah bahawa seni bina rumah Baruk Bidayuh ini mempunyai keunikan seperti rumah-rumah yang lain di negeri Sarawak.
Pelan rumah melayu Sarawak
Masyarakat di Sarawak memiliki keunikan yang tersendiri dan telah mempengaruhi masyarakat melayu yang ada di Sarawak. Orang melayu yang ada di Sarawak membuat rumah berteraskan rumah melayu yang ada di semenanjung dengan penambahbaikan serta menyesuaikan rumah dengan negeri tersebut. Pelan yang ada diatas dapat menunjukkan bahawa rumah melayu tradisional ini seperti rumah tradisional lain iaitu panjang pada pandangan sisi kanan dan kiri rumah. Pelan lantai juga dibina secara panjang ke belakang dan sangat luas bagi memudahkan aktiviti berlaku dalam rumah tersebut. Malah boleh dilihat juga pelan lonteng yang tinggi dibina bagi memudahkan laluan pengudaraan keluar masuk dan menjadikan rumah melayu Sarawak ini lebih sejuk pada waktu siang dan malam. Pembinaan rumah melayu tradisional di Sarawak adalah berasaskan bahan alam iaitu rumah melayu pada mulanya dibina secara ringkas dan sangat baik sebelum kedatangan pengaruh luar dan teknologi moden yang semakin hari semakin menguasai pemasaran dunia. Malah masyarakat melayu di Sarawak dahulunya menggunakan bahan berasaskan bahan alam semulajadi di kawasan sekitar. Sebagai contoh daun rumbia, nipah, anak-anak kayu, batang nibung, batang pianang dan buluh bagi mendirikan rumah untuk kediaman orang melayu pada masa itu. Masyarakat melayu terdahulu di Sarawak juga menggunakan teknik ikat secara sendi yang dibuat dengan mengikat bahan rotan atau akar pada tanggam bagi mengetatkan dan menstabilkan tiang, dinding dan bumbung rumah.
Pelan lantai Rumah Tinggi Melanau di Sarawak
Akhir sekali, keunikan reka bentuk ini dapat dilihat di rumah tinggi Melanau iaitu dimana rumah tersebut dibina bermula dengan mempunyai 4 pintu atau 4 bilik kemudian pada tahun 1888 ianya diperbesarkan menjadi 28 pintu secara keseluruhannya dan mempunyai ruainya yang terletak di tengah. Ia juga dibina sebanyak tiga tingkat dan ketinggian rumah luar biasa ini adalah 40 kaki bersamaan 10 meter dari permukaan tanah. Ditambah pula dengan bahan binaannya yang kukuh dan tahan lasak seperti kayu belian yang digunakan untuk membuat tiang rumah Melanau dan atapnya dibuat daripada daun rumbia atau pokok sagu yang berbentuk tebar layar dan pisang sesikat serta menggunakan bahan untuk membuat rangka atap dengan menggunakan kayu yang tahan lasak dan tidak mudah reput. Dari segi pembinaan tangga pula diperbuat daripada batang pokok yang telah ditakik dengan menggunakan batang pokok yang keras dan tidak mudah reput. Tangga yang dibina juga boleh dinaikkan bagi tujuan mengelakkan daripada serangan musuh. keunikannya juga boleh dilihat dari segi struktur lantai rumah tersebut, sekiranya berkunjung ke Kampung Budaya sarawak, kita dapat melihat keunikan rumah tinggi Melanau itu sendiri. Struktur lantainya yang jarang, namun peliknya orang yang berada di bawah rumah ini tidak akan dapat melihat pergerakan orang yang berada di atas, tetapi orang yang berada di atas dapat melihat dengan jelas pergerakan orang di bawah rumah. Hal ini disebabkan oleh struktur susunan dan kombinasi lantai nibong yang unik. Keadaan ini, dipercayai membolehkan tuan rumah menyimbah musuh di bawah rumah dengan air panas. Dinding rumah tinggi Melanau juga unik yang diperbuat daripada daun rumbai seperti atap rumah tersebut serta ada juga yang menggunakan batang kayu. Dinding yang telah dini ini kelihatan sangat kukuh dan tahan lasak. Hal ini dapat disimpulkan bahawa penduduk kampung Melanau melakukan pembinaan tersebut secara bermuafakat. Pembinaan yang dilakukan ini terlihat sangat unik menyebabkan para pelancong di luar sana tertarik untuk melihat keunikan dan keindahan dengan lebih dekat.
Ulasan
Catat Ulasan