Sinopsis Hikayat Malim Deman

 BUKU SASTERA 


     Hikayat Malim Deman mengisahkan seorang putera raja kepada Tuanku Gombang Malim dan Tuan Puteri Lindungan Bulan dari sebuah negeri bernama Bandar Muar iaitu Tuanku Malim Deman. Tuanku Malim Deman diperihalkan sebagai seorang putera yang kacak, cukup budi pekertinya dan bijak dalam mengetahui segala hal dunia dan akhirat. Cerita ini bermula apabila pada suatu malam, baginda telah bermimpi didatangi seorang wali Allah yang menyuruhnya berjumpa dengan Nenek Kebayan di hulu negeri untuk memperisterikan seorang Puteri dari kayangan iaitu Puteri Bongsu. Apabila baginda terjaga daripada beradu, baginda berubah menjadi seorang yang gila bayang kerana terkenangkan mimpinya itu. Seluruh istana hairan melihat kepada perubahan kelakuan baginda terutama pengasuhnya, Si Kembang Cina. Akhirnya, baginda mengambil keputusan untuk berangkat ke hulu negeri untuk berjumpa dengan Nenek Kebayan.

   Tuanku Malim Deman berangkat ke hulu negeri Bandar Muar diiringi menteri, hulubalang dan rakyat jelata tetapi semuanya tewas kecuali Bujang Selamat dan Si Kumbang kerana disebabkan mereka sesat, hilang, kebuluran dan sesetengahnya telah kembali semula ke Bandar Muar kerana tidak tahan dengan segala bencana dan gangguan syaitan semasa dalam perjalanan tersebut. Oleh itu, Tuanku Malim Deman hanya bersama dengan Bujang Selamat dan anjingnya Si Kumbang. Selepas itu, Bujang Selamat jatuh sakit dan meninggal dunia maka baginda meneruskan perjalanannya bersama Si Kumbang sehingga terjumpa sebuah batil emas bertatahkan intan iaitu kepunyaan Puteri Bongsu yang hanyut di hulu sungai. Bagi sesiapa yang menjumpai batil itu akan menjadi suami jodoh kepada Puteri Bongsu. Dengan takdir Allah SWT, Si Kumbang mati lemas semasa mereka menyeberangi sungai itu. Kemudian, baginda pun tiba di hulu negeri Bandar Muar dan melihat rumah kepunyaan Nenek Kebayan. Baginda berjumpa dengan Nenek Kebayan dan menceritakan mengenai mimpinya itu. Dengan bantuan Nenek Kebayan, baginda mengambil baju layang Puteri Bongsu semasa ketujuh-tujuh puteri itu bersiram. Akhirnya, baginda dikahwinkan dengan Puteri Bongsu oleh Betara Guru. Selepas itu, baginda membawa pulang isterinya ke Bandar Muar dan disambut meriah. Selang seminggu, ayahanda dan bondanya gering dan mangkat. Baginda mengambil takhta pemerintahan tetapi baginda mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua negeri dan menghabiskan masa dengan wanita serta sanggup tidak mengendahkan isterinya sehingga kelahiran puteranya.

   Pada suatu hari, Puteri Bongsu pulang ke kayangan bersama puteranya tanpa pengetahuan Tuanku Malim Deman dan Puteri akhirnya bertunang dengan seorang raja di kayangan iaitu Mambang Molek. Tuanku Malim Deman menyedari kehilangan isteri dan anaknya, barulah baginda insaf akan perbuatannya. Baginda mengembara semula untuk berjumpa dengan isteri dan anaknya. Namun begitu, baginda terpaksa mengharungi pelbagai cabaran semasa pengembaraannya itu.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Majlis Maulid Nabi Memberi Ketenangan?

KRITIKAN TERHADAP DRAMA "TERHENTINYA DOA"

SAJAK: CINTA RASULULLAH