Rumah Tradisional Masyarakat Sarawak

Rumah Tinggi Melanau di Sarawak

Masyarakat Melanau merupakan masyarakat etnik di Sarawak. Bagi sebahagian besar penduduk negeri Sarawak, 'Melanau' adalah satu bangsa yang sama seperti bangsa Iban, Melayu, Cina dan sebagainya. Penempatan utama masyarakat Melanau tertumpu di kawasan muara sungai dan juga di kawasan persisiran pantai. Ini kerana mereka agak bergantung hidup dengan bertani dan menangkap ikan. Mereka juga adalah penanam utama rumbia di Sarawak dan mempunyai kebolehan yang tiada tandingannya dalam penyediaan makanan berasaskan rumbia seperti sagu dan biskut. Kawasan penempatan mereka boleh dibahagikan dua seperti kawasan berhampiran laut (Rajang, Paloh, Bebuai, Daro, Matu, Igon, Oya, Mukah dan Bintulu) dan kawasan pedalaman (Dalat, Medong, Kut. Norub, Balingian dan Tatau). Keadaan muka bumi yang berbukit bukau, paya dan hubungan yang sukar di antara satu kawasan dengan satu kawasan yang lain menyebabkan wujudnya perbezaan yang ketara di dalam dialek pertuturan mereka. Walaupun ada perbezaan dialek sesama mereka tetapi mereka masih lagi boleh dikelaskan di dalam satu kumpulan budaya dengan watak sosiobudaya tertentu.

Orang Melanau tinggal di dalam rumah panjang (yang dibina secara tinggi) sama dengan suku kaum Iban. Walaupun begitu, masyarakat Melanau sekarang telah mengubah cara kehidupan mereka dengan tinggal di dalam rumah kampung yang mengikut corak orang Melayu. Masyarakat Melanau yang bukan beragama Islam mempercayai makhluk ghaib yang dipanggil Ipok. Pada suatu masa dahulu, klasifikasi masyarakat berdasarkan pangkat dan kedudukan wujud dalam kehidupan seharian masyarakat Melanau. Kedudukan seseorang di rumah panjang menentukan pangkatnya. Contohnya golongan atasan akan tinggal di bahagian tengah rumah panjang sementara golongan yang lebih rendah akan tinggal di bahagian yang agak ke penghujung rumah. Masyarakat bawahan akan tinggal di penghujung rumah panjang dan bertindak sebagai pengawal.

Rumah tinggi Melanau merupakan rumah tradisi masyarakat Melanau pada dahulu kala. Seni bina rumah panjang Melanau berbeza dengan rumah panjang kaum lain di Sarawak dimana rumah panjang Melanau adalah tinggi dan berbentuk segiempat tepat serta bertingkat. Oleh sebab itu, rumah panjang Melanau juga dikenali sebagai rumah tinggi Melanau.Di kampung budaya kita dapat melihat keunikkan struktur binaan rumah tradisional Melanau yang tinggi dan berbeza dengan struktur binaan masyarakat pribumi lain di Sarawak. Jika masyarakat Iban terkenal dengan rumah panjang mereka, masyarakat Melanau pula terkenal dengan rumah tinggi walaupun ramai dalam kalangan generasi muda yang tidak berkesempatan untuk tinggal di rumah tradisional ini.

Rumah kaum Melanau ini bukan sahaja boleh dilihat di kampung budaya, malah masih ada masyarakat yang mahu mengekalkan warisan mereka ini misalnya di Matu Daro. Matu merupakan daerah dan bandar kecil di Bahagian Mukah, Sarawak, Malaysia Timur. Sebelum Bahagian Mukah telah ditubuhkan, Matu adalah dalam Bahagian Sibu. Terdapat lebih dari 20 buah kampung di daerah ini dengan Melanau yang membentuk majoriti penduduk. Cina merupakan penduduk kedua terbesar selepas Melanau. Bentuk anjung rumah tradisional ini yang berada di hadapan seperti rumah moden dan hanya berkongsi ruang tamu di bahagian tengah rumah berbanding dengan rumah panjang masyarakat Iban atau Bidayuh yang berkongsi ruang tamu di bahagian depan rumah. Rumah Tradisional Melanau ini juga lebih dikenali sebagai Rumah Tinggi Melanau. Jelaslah bahawa, rumah tinggi Melanau di Sarawak telah menjadi salah satu rumah yang terkenal dan menjadi tumpuan orang di Malaysia mahupun di negara luar.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Majlis Maulid Nabi Memberi Ketenangan?

KRITIKAN TERHADAP DRAMA "TERHENTINYA DOA"

SAJAK: CINTA RASULULLAH