Kritikan Terhadap Konflik Dalam "Drama Cemin Kasih"
KRITIKAN TERHADAP DRAMA
KRITIKAN TERHADAP KONFLIK RUMAH TANGGA
Konflik rumah tangga merupakan salah satu perkara yang tidak asing lagi apabila satu pasangan itu sudah diijabkabulkan akan mengalami salah faham dan seterusnya berlakunya keretakan dalam rumah tangga mereka. Di Sini kita boleh lihat pengarah drama Cermin Kasih ini mewujudkan konflik dalam rumah tangga iaitu antara suami isteri yang disebabkan oleh pengaruh dadah yang sering terjadi dalam kehidupan masyarakat pada hari ini. Konflik rumah tangga ini seringkali dijadikan sebagai bahan atau kisah untuk dipertontonkan kepada masyarakat terutama dalam drama TV supaya dititikberatkan dalam kehidupan supaya tidak mudah terpengaruh dengan orang yang baru dikenali agar kita tidak mudah terjerumus dengan aktiviti negatif seperti pengedaran dadah.
Berdasarkan drama Cermin Kasih yang dikaji, konflik rumah tangga jelas dapat dilihat pada watak Amran dan Marina iaitu pasangan suami isteri. Pasangan ini mengalami konflik rumah tangga apabila isterinya iaitu mengetahui mengenai rahsia suaminya yang merupakan pengedar dadah. Konflik rumah tangga ini wujud apabila sikap seorang suami yang mementingkan diri sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana seorang suami yang sanggup mempergunakan isterinya untuk kepentingan dirinya untuk memperoleh keuntungan. Melalui drama Cermin Kasih ini, kita dapat lihat watak Amran iaitu seorang suami yang boleh dikatakan sebagai suami yang mempunyai sikap mementingkan diri sendiri apabila dia sanggup mengheret isterinya iaitu Marina masuk ke dalam aktiviti pengedaran dadah yang dia lakukan. Sikap ini boleh mendorong sesebuah rumah tangga itu mengalami masalah dan seterusnya membawa kepada penceraian dan kematian.
Konflik rumah tangga yang berlaku juga berpunca daripada tiada kejujuran terhadap pasangan. Kejujuran adalah satu sikap yang amat penting dalam sesebuah rumah tangga di mana menjadi kunci kebahagiaan. Drama ini memperlihatkan sepasang suami isteri yang dilihat bahagia pada awal perkahwinan mereka. Situasi bertukar suram dan pertelingkahan mula berlaku apabila Marina mengetahui perkara sebenar mengenai pekerjaan suaminya. Marina amat kecewa dan sedih apabila suaminya tidak jujur terhadapnya kemudian konflik ini menyebabkan Marina tidak sanggup tinggal sebumbung bersama Amran. Jika Amran jujur menyayangi Marina sepatutnya dia meninggalkan segala pekerjaan haram yang dia lakukan dan membina hidup yang baru dan berusaha membahagiakan Marina dengan cara yang betul. Melalui drama Cermin Kasih ini pengarah memaparkan konflik rumah tangga dimana situasi yang berlaku berpunca daripada sikap seorang suami yang tiada kejujuran terhadap isterinya.
Bukan itu sahaja, konflik rumah tangga timbul disebabkan sikap suami yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik. Seorang lelaki yang bergelar suami perlu menjaga dan menghormati isteri kerana mereka merupakan anugerah yang diberikan daripada Allah SWT dimana kita perlu melindunginya dengan sebaik mungkin. Melalui drama ini, Murali Abdullah telah memaparkan watak seorang suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan betul iaitu Amran terlibat dalam sindiket dadah yang mana ia merupakan satu pekerjaan yang haram. Jadi kita dapat lihat bahawa wang yang didapati adalah wang haram. Walau bagaimanapun, Amran menggunakan wang tersebut untuk menyara dan memberi nafkah kepada isterinya. Sebagai seorang suami, mereka seharusnya berfikiran matang untuk memilih yang mana halal dan haram. Perkara sebegini mendorong sesebuah rumah tangga itu mengalami masalah dan sukar mencapai keharmonian dalam rumah tangga.
Dalam Drama Cermin Kasih dapat dilihat bahawa konflik dalam rumah tangga ini membawa kepada pertengkaran antara suami dan isteri yang disebabkan oleh gejala dadah seterusnya menyebabkan wujudnya gangguan emosi yang boleh membuat seseorang itu kemurungan. Sebagaimana kita boleh lihat dalam drama ini, Marina mengalami gangguan emosi apabila dia mengetahui suaminya adalah seorang pengedar dadah.Konflik yang berlaku menyebabkan dia terpaksa mengikut jejak langkah suaminya dan seterusnya apabila Marina di penjarakan, dia disahkan mengandung.Marina mengalami tekanan apabila mengetahui perkara tersebut. Sebagai rumusan, kita dapat lihat bahawa konflik dalam rumah tangga ini bukan sahaja disebabkan orang ketiga seperti yang berlaku kepada masyarakat sehinggalah kini malah konflik ini juga boleh terjadi apabila salah seorang pasangan melibatkan diri dengan gejala negatif dan haram seperti pengedaran dadah. Konflik ini dapat dikaitkan dengan teori strukturalisme genetik dimana masalah rumah tangga ini sering dihadapi oleh masyarakat pada harini yang boleh membawa kepada perpecahan, pergaduhan dan sebagainya. Hal ini dikatakan demikian kerana lakonan yang dipaparkan mampu memberi kesan kepada penonton dan menjadikan drama ini sebagai pengajaran kepada mereka supaya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.Melalui drama Cermin Kasih ini, kita dapat lihat bahawa konflik rumah tangga ini tiada penyelesaian dan konflik rumah tangga ini tidak terlalu jelas apabila watak suami dalam drama ini hanya pada bahagian permulaan cerita sahaja maka konflik rumah tangga dilihat tidak terlalu ditonjolkan oleh pengarah Murali Abdullah.
KRITIKAN TERHADAP KONFLIK ANTARA RAKAN
Berdasarkan Drama Cermin Kasih, konflik antara rakan jelas dipaparkan oleh pengarah terutamanya antara watak Marina dan Azlina. Interaksi antara watak ini sangat lemah menyebabkan banyak konflik timbul antara mereka berdua. Permulaan konflik ini berlaku apabila Marina tidak mahu berinteraksi dengan sesiapapun termasuklah rakan sebiliknya di penjara iaitu Kak Rock dan Azlina. Sikap panas baran Azlina kepada Marina turut memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan Marina ketakutan berada di penjara tersebut. Hal ini menunjukkan pentingnya interaksi antara rakan dalam mengelakkan pergaduhan dan salah faham antara rakan. Konflik ini dapat diselesaikan jika Marina mahu berinteraksi dengan Azlina pada awal perkenalan mereka. Tindakan tersebut sedikit sebanyak dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka berdua seterusnya dapat menghilangkan sikap panas baran Azlina terhadap Marina. Di sini, jelas menggambarkan bahawa kurang interaksi antara rakan akan membentuk hubungan persahabatan yang kurang disenangi.
Selain itu, konflik antara rakan juga berlaku jika timbulnya perasaan iri hati antara satu sama lain. Perasaan iri hati menyebabkan mereka lebih suka mencari kesalahan dan kelemahan yang ada pada rakan mereka seterusnya memperlekehkan kelemahan tersebut. Melalui drama Cermin Kasih, dapat disaksikan bahawa Azlina sering berasa iri hati terhadap Marina. Hal ini demikian kerana Kak Rock sering menyebelahi Marina menyebabkan Azlina berasa tidak puas hati. Tambahan pula, Marina memiliki perwatakan yang pendiam dan keras kepala menyebabkan Azlina mudah naik angin terhadap sikap yang ditunjukkan oleh Marina itu. Hal ini sering menimbulkan pergaduhan antara mereka. Sekiranya, Azlina bersikap lebih rasional terhadap Marina, pasti hubungan mereka akan bertambah erat. Hal ini demikian kerana Marina merupakan banduan baru di penjara tersebut. Marina menjadi keras kepala disebabkan rasa ketakutan impak daripada dadah yang diambil serta traumanya terhadap suaminya. Seharusnya Azlina memberikan sokongan dan dorongan kepada Marina dalam menjalani kehidupan dan bukannya mencari kesalahan yang ada pada Marina. Jelaslah perasaan iri hati terhadap rakan akan menimbulkan impak terhadap rakan tersebut terutamanya dari segi mental dan emosi mereka.
Konflik antara rakan di dalam Drama ini jelas tidak mempunyai jalan penyelesaian sehinggalah akhir tayangan drama. Hubungan persahabatan antara watak Marina dan Azlina menunjukkan tiada kesepakatan antara mereka berdua. Pengarah seharusnya menunjukkan jalan penyelesaian terhadap konflik yang timbul antara mereka. Namun demikian, pengarah telah mewujudkan watak Kak Rock iaitu rakan sebilik mereka. Wujudnya watak Kak Rock bukan sahaja membantu dalam perkembangan perubahan watak Marina, tetapi membantu dalam meleraikan pergaduhan antara Marina dan Azlina. Kak Rock memainkan peranan penting dalam menenangkan sikap panas baran Azlina terhadap Marina. Meskipun begitu, setelah Kak Rock bebas daripada penjara, hubungan antara Marina dan Azlina menjadi semakin buruk. Hal ini menunjukkan tiada elemen toleransi yang diterapkan dalam hubungan persahabatan mereka. Kesudahannya, perkembangan hubungan mereka tetap renggang sehingga Marina bebas daripada penjara tersebut.
Konflik antara rakan dalam drama ini jelas tidak dititikberatkan. Pengarah banyak memfokuskan kepada isu keluarga daripada isu persahabatan. Hal ini memberi kesan terhadap konflik antara rakan kerana tiadanya jalan penyelesaian. Pendekatan teori strukturalisme genetik telah digunakan dalam menjelaskan hakikat konflik yang sering berlaku antara rakan sehinggakan sesuatu hubungan itu terputus disebabkan tiada lagi persefahaman antara mereka. Oleh itu, persahabatan ini seharusnya turut dititikberatkan oleh pengarah supaya dapat mempamerkan kepada masyarakat bahawa rakan juga memainkan peranan penting dalam memberi dorongan serta pengajaran untuk menjalani kehidupan seharian.
KRITIKAN TERHADAP KONFLIK PENGGUNAAN DADAH
Dalam Drama Cermin Kasih yang telah dikaji, berlakunya konflik penggunaan dadah oleh watak Amran dan watak Marina. Pengarah drama Cermin Kasih iaitu Murali Abdullah cuba menceritakan atau menggambarkan kisah yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat pada masa kini. Penyalahgunaan dadah telah banyak merosakkan institusi keluarga. Sebagaimana yang boleh dilihat melalui cerita ini, kehidupan Marina bertukar apabila dijodohkan dengan pemuda pilihan orang tuanya iaitu Amran. Tanpa mereka sedari, hakikatnya Amran merupakan seorang pengedar dadah.
Kesan penggunaan dadah turut menjadikan seseorang individu bertindak diluar kawalan dan berbuat sesuatu dengan tidak waras. Kesan halusinasi dan khayalan menyebabkan seseorang itu boleh bertindak di luar kewarasan. Keadaan ini juga menjadikan seseorang itu mempunyai kecenderungan untuk membunuh dan mencederakan ahli keluarga yang lain sekiranya keinginan tidak ditunaikan. Sebagaimana yang dipaparkan dalam drama, Marina telah dipaksa oleh Amran untuk terlibat sama dalam aktiviti pengedaran dadah dan akhirnya dia diberkas oleh polis. Kemudian, Amran pula meninggal dunia akibat ditembak oleh polis.
Pengambilan dadah haram bagi kaum wanita. Dadah mampu menyebabkan gangguan kesihatan seperti pening, kadar peningkatan denyutan jantung berubah-ubah dan merosakkan telur dalam rahim serta salur peranakan. Jikalau wanita itu hamil, kesan sampingan kepada embrio atau janin akan melambatkan tumbesarannya dan kemungkinan kelahiran pramatang . Jikalau bayi itu hidup, organ dalaman tidak bertahan lama serta menyebabkan kematian akibat kesan pengambilan dadah daripada ibunya . Konflik ini boleh dilihat dalam drama, melalui sisi gelap Marina dipenjara dia disahkan mengandung. Marina mengalami gangguan emosi dan akhirnya lahirlah Maryam. Maryam dibesarkan di dalam penjara sehingga dia berusia 3 tahun. Selaras dengan peraturan penjara, Maryam dipisahkan dengan Marina dan dipelihara oleh datuk dan neneknya iaitu Pak Hamdan dan Mak Jah. Namun, Maryam telah meninggal dunia pada hari yang sama Marina dibebaskan. Maryam jatuh sakit dan tidak mampu untuk diselamatkan.
Sebagai rumusan, pengarah drama iaitu Murali Abdullah cuba untuk menjelaskan kepada masyarakat bahawa mereka seharusnya menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing agar ahli keluarga terutamanya tidak terjebak dengan kegiatan tidak berfaedah itu. Kesan penggunaan dadah amat membahayakan diri dan orang sekeliling. Jelaslah, perkara ini dapat dikaitkan dengan teori strukturalisme genetik yang digunakan kerana masalah berkaitan dadah ini sering berlaku dalam kalangan masyarakat masa kini dan mendatangkan kesan yang buruk kepada sesiapa yang terlibat dalam penggunaan dadah.
Ulasan
Catat Ulasan