SEJARAH PENJARA PUDU YANG KIAN TERHAKIS
Generasi sekarang mungkin tidak peduli dan peka akan Bukit Bintang City Centre (BBC) milik Perbadanan Kemajuan Bandar (UDA) sebenarnya dahulu adalah sebuah penjara yang amat digeruni. Bagi mereka yang pernah menjadi penghuni setianya dan di tahan di sini, mereka umpama mati dalam hidup. Kehidupan ibarat mahligai terakhir memisahkan gelaran mereka sebagai penjenayah yang terpaksa akur dan mengakhiri sisa hidupnya hanya di sini.
Di situlah letaknya penjara Pudu atau lebih sinonim dengan panggilan 'Pudu Jel'. Sebuah penjara yang menyembunyikan banyak kisah di sebalik tembok tingginya dan menyimpan seribu satu kenangan kepada penghuninya serta mereka yang bertugas 24 jam tanpa henti. Menabur penuh bakti tidak mengira siang dan malam di samping melakarkan pelbagai nostalgia.
Penjara ini dibina pada Februari 1891, terletak di jalan Hang Tuah berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang asalnya dibina di atas tapak bekas tanah perkuburan Cina. Pembinaan hanya mengambil masa 4 tahun sahaja untuk siap dengan menggunakan banduan sebagai tenaga kerja penuh pada ketika itu.
Tapak penjara ini seluas 8.9 hektar ini dikelilingi oleh lukisan mural sepanjang 384 meter dan tinggi 4.5 meter yang terpapar indah pada setiap inci temboknya. Mural ini dihasilkan pada tahun 1984 oleh seorang banduan bernama Khong Yen Chong dan telah tercatat dalam Guiness Book of Records sebagai mural terpanjang di dunia.
Dahulu suasana pemandangan di dalamnya begitu hening sehingga menerbitkan rasa seram sejuk apabila memasuki setiap lorong dan koridor penjara. Ia kekal tersembunyi 1001 misteri yang boleh meruntun emosi apabila melewati setiap kawasan termasuk bilik hukuman.
Penjara Pudu telah termaktub dalam lipatan sejarah kerana tetap gah antara penjara tertua di Malaysia. Namanya terus tersohor dan segar di ingatan mereka yang pernah berada di dalamnya. Mengikut rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia seramai 180 pesalah telah menjalani hukuman gantung sampai mati di jerut tali gantung akibat kesalahan berat dari tahun 1960 sehingga tamat operasi secara rasmi pada 31 Oktober 1996.
Semenjak tahun 1891 ia telah mencatatkan pelbagai peristiwa suka, duka, pahit, manis dan misteri. Namun, kini ia terus sepi, hanya tingga sisa. Kalau dahulu sentiasa menyambut kedatangan penjenayah yang akan menerima hukuman, kini hanya menerima kedatangan pelancong dan paranormal sahaja.
Natijahnya, penjara ini sudah tersembam ke bumi namun pelbagai kenangan tersemat di hati khusunya kepada kalangan para petugas dan bekas banduan, ingatan pastinya akan di bawa sehingga ke akhir hayat. Sejarah Penjara Pudu hakikatnya masih terpahat dan tidak akan hilang begitu sahaja.
Ulasan
Catat Ulasan