PENDERITAAN SAUDARAKU DI PALESTIN
ISU SEMASA
Seringkali kita mendengar perkhabaran duka daripada saudara kita yang berada di Palestin. Sebagaimana yang kita tahu, mereka mengalami penderitaan yang berpanjangan akibat daripada kekejaman Zionis Yahudi yang tidak berperikemanusiaan. Bumi Gaza yang berkeluasan 365 km persegi itu yang sebelum ini didiami oleh lebih 2 juta rakyat Palestin, sebahagian besar telah ranap. Bangunan dan tempat kediaman musnah dikerjakan oleh tentera Zionis Israel yang menyebabkan ribuan telah terkorban dan cedera parah.
Saban hari media elektronik dan media sosial memaparkan keadaan semasa di sana. Hati manusia mana yang tidak pilu dan sayu melihat nasib yang menimpa rakyat di Palestin. Kanak-kanak, wanita, orang tua dan rakyat kebanyakan menanggung derita asakan tentera Zionis Israel yang bermatlamat mahu menghancurkan Gerakan Perjuangan rakyat Palestin yang diketuai oleh tentera HAMAS.
Dengan melihat nasib yang menimpa jutaan rakyat yang tidak berdosa itu, masyarakat dunia bangkit untuk membuat protes. Demonstrasi besar-besaran menyelar Israel dan menggesa dihentikan serangan tanpa peri kemanusiaan itu berlaku merata-rata termasuklah di Amerika Syarikat sendiri, Eropah, Afrika, Asia dan semua negara Islam. Malah atas kemarahan masyarakat dunia itu boikot besar-besaran terhadap barangan dan produk Israel serta negara-negara sekutunya sedang berlaku termasuklah di Malaysia. Di Malaysia sebelum ini pernah dalam beberapa isu terdapat seruan untuk memulau dan boikot sesuatu produk atau barangan, tetapi kesannya tidaklah menyeluruh. Kali ini dalam isu pembunuhan di Palestin, beberapa syarikat berkaitan teruk mengalami kerugian. Boikot ini disertai hampir keseluruhan rakyat khususnya umat Islam. Isu atau konflik yang berlaku ini membuatkan orang ramai menganggap sebagai isu kemanusiaan dan isu sejarah. Hal ini kerana, konflik yang berlaku ini melibatkan pembunuhan rakyat yang tidak berdosa yang hanya berpunca daripada perbezaan politik antarabangsa.
Oleh itu, kita semua haruslah memainkan peranan masing-masing, bagi umat Islam teruslah berdoa kepada Allah S.W.T agar saudara kita disana berada dalam keadaan baik dan mendapat jalan yang terbaik bagi mereka. Tidak lupa juga selalulah membaca qunut Nazilah untuk mereka.
Ulasan
Catat Ulasan