Punca Gangguan Bekalan Air Selangor
ISU SEMASA
Air bersih amat penting dalam kehidupan kita bukan sahaja untuk diminum tetapi untuk menjalankan aktiviti harian seperti memasak, mencuci pakaian, mandi dan sebagainya. Rutin harian biasanya akan terjejas apabila berlakunya gangguan bekalan air. Pengguna terpaksa menadah air, membeli air botol atau mencari sumber air alternatif seperti air bukit dan air perigi jika gangguan bekalan air berlaku, terutamanya jika gangguan air berlaku melebihi satu hari.
Punca gangguan bekalan air berlaku;
- Gangguan akibat penutupan loji disebabkan oleh penyelenggaraan berjadual.
- Gangguan akibat penutupan loji disebabkan oleh faktor luar jangka seperti pencemaran sumber air, gangguan bekalan elektrik kerosakan peralatan loji, atau kerosakan paip induk yang disebabkan oleh pihak ketiga.
Gangguan secara berjadual
Lazimnya, operator air bertanggungjawab untuk melaksanakan penyenggaraan dan penggantian peralatan secara berkala bagi memastikan sistem dan peralatan berfungsi dengan baik agar air bersih dapat dibekalkan secara berterusan kepada pengguna. Dalam tempoh kerja-kerja penyenggaraan dilaksanakan, LRA akan ditutup dan seterusnya air bersih tidak dapat dibekalkan kepada pengguna. Operator air akan merancang lebih awal tempoh yang diperlukan bagi menyempurnakan kerja-kerja penyenggaraan dan notis akan dikeluarkan kepada pengguna bagi memaklumkan tempoh gangguan bekalan air di kawasan yang terjejas. Notis pemakluman ini akan membantu pengguna membuat persiapan awal.
Gangguan secara tidak berjadual
Pencemaran sumber air
Insiden gangguan tidak berjadual adalah di luar kawalan operator air. Antaranya ia berlaku apabila terdapat kes pencemaran sumber air mentah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, atau kemerosotan kualiti sumber air. Ini menyebabkan LRA yang terjejas terpaksa ditutup kerana LRA tidak mampu untuk merawat air yang tercemar. Operasi LRA hanya boleh beroperasi semula setelah kualiti air mentah kembali ke normal dan bebas dari sisa bahan cemar yang boleh menjejaskan proses rawatan dan membahayakan pengguna. Tempoh gangguan tidak berjadual bergantung kepada tempoh masa yang diperlukan untuk mengembalikan kualiti air mentah ke tahap yang selamat untuk dirawat serta tempoh masa untuk merawat dan mengagihkan air kepada pengguna semula. Hal ini dapat dikaitkan dengan isu pencemaran bau di sungai Semenyih pada 24 disember 2022 yang mana berpunca daripada tumpahan pati minyak wangi menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air.
Ulasan
Catat Ulasan