Kritikan Terhadap Aspek Sosial dalam Filem "Pendekar Bujang Lapok"
KRITIKAN TERHADAP FILEM
Kritikan Terhadap Aspek Agama
Di dalam membincangkan aspek agama di dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959), P. Ramlee telah memaparkan mengenai masyarakat Melayu Islam yang majoritinya melanggar norma agama atau syariat. Kepincangan dari sudut agama ini diperlihatkan dengan wujudnya masyarakat yang meletakkan kepercayaan terhadap amalan-amalan karut yang menyesatkan. Amalanamalan tersebut adalah kepercayaan terhadap ‘hantu’, pemakaian susuk dan pembacaan mantera. Kesemua perkara ini merupakan amalan yang mendatangkan dosa besar yang boleh membawa kepada perbuatan syirik dan penyelewengan akidah. Selain itu, amalan-amalan ini juga ini adalah dilarang di dalam Islam kerana timbulnya keyakinan bahawa ada benda atau unsur lain yang lebih berkuasa selain Allah SWT. Hal ini demikian kerana, masyarakat Melayu pada ketika itu masih mengamalkan kepercayaan yang bersifat supernatural.Walau bagaimanapun, P. Ramlee juga menyelitkan bahawa wujudnya juga masyarakat yang masih meletakkan kebergantungan mereka kepada Allah menerusi amalan berdoa. Beliau tidak hanya memaparkan kejahilan masyarakat terhadap agama sahaja, namun beliau juga mengimbanginya dengan meletakkan elemen doa sebagai salah satu perkara penting dalam kehidupan umat Islam.
Kritikan Terhadap Aspek Budaya
Aspek budaya juga turut dibincangkan dalam filem ini. P. Ramlee mengenengahkan dua unsur budaya dalam filem ini seperti seni persilatan dan pemaparan pakaian Melayu dalam mengangkat nilai budaya masyarakat Melayu yang terkenal dengan adab kesopanan yang tinggi. Bagi seni persilatan, P. Ramlee telah membicarakan bahawa seni mempertahankan diri ini adalah suatu unsur penting yang ditekankan dalam penceritaan Pendekar Bujang Lapok (1959). Hal ini demikian kerana seni persilatan inilah yang membawa Ramli, Sudin dan Ajis ke Kampung Pinang Sebatang. Sementara itu, melalui pakaian, budaya suatu bangsa itu turut dapat ditonjolkan. Di dalam filem ini, pemaparan masyarakat Melayu diolah kemas oleh P.Ramlee melalui aspek pakaian. Watak-watak lelaki di dalam filem ini cenderung mengenakan pakaian tradisi Melayu seperti kain pelikat dan bertengkolok.
Kritikan Terhadap Aspek Pendidikan
Di samping itu, P. Ramlee menekankan tema pendidikan sebagai tema utama di dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959). Beliau memaparkan permasalahan buta huruf yang menjadi satu unsur negatif serta ‘penyakit’ yang melanda sebahagian besar masyarakat di dalam filem ini. Walaupun filem ini mengambil latar masa selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, namun masih ramai yang mempunyai masalah buta huruf ini. Hal ini demikian kerana kesedaran tentang kepentingan pendidikan hanya wujud selepas tentera Jepun menyerah kalah dan sikap kerajaan British yang cuba melepaskan tanggungjawab mereka terhadap pendidikan rakyat tempatan.Melalui masalah buta huruf, timbulnya pelbagai masalah kepada manusia disebabkan oleh kurangnya kesedaran tentang pendidikan. P. Ramlee juga menunjukkan bahawa masalah buta huruf ini bukan sahaja dihadapi gologan warga emas tetapi juga perkara ini dihadapi oleh golongan muda.
Kritikan Terhadap Aspek Nilai Moral
Filem Pendekar Bujang Lapok (1959), P. Ramlee turut memaparkan wujudnya sikap biadab yang dimiliki oleh golongan muda. Golongan muda yang dimaksudkan adalah pekerja-pekerja Tauke Sampan. Hal ini ditemukan semasa adegan di penambang. Pekerja Tauke Sampan telah membuli, memukul dan melemparkan kata-kata kesat terhadap para penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan sampan mereka. Kebiadaban mereka terserlah dengan kekasaran yang mereka lakukan terhadap orang awam yang majoritinya merupakan warga emas. Kebiadaban mereka dilihat berada di kemuncaknya apabila dua orang daripada pekerja Tauke Sampan iaitu Kemat dan Rafi bertindak untuk memukul Pendekar Mustar. Walaupun pada akhirnya Tauke Sampan berjaya melawan Kemat dan Rafi, namun tindakan mereka yang secara sengaja berniat untuk mencederakan Pendekar Mustar ini adalah suatu tindakan yang tidak wajar dilakukan. Hal ini kerana secara umumnya golongan yang berusia seharusnya dihormati oleh golongan yang lebih muda. Lebih menyedihkan apabila Tauke Sampan melontarkan dialog yang menghina Pendekar Mustar.
Dialog tersebut berbunyi:
Tauke Sampan: Biar orang tua itu mampus. Tua-tua pun tak sedar diri. Biar dia rasa.
Ulasan
Catat Ulasan