Keunikan Masjid Razaleigh, Gua Musang, Kelantan

 

~MASJID RAZALEIGH~

Masjid Mukim Razaleigh merupakan sebuah masjid yang terletak di tengah-tengah kawasan pekan di Bandar Lama, Gua Musang, Kelantan. Masjid ini dipercayai merupakan masjid terawal dibina dalam Jajahan Gua Musang pada dahulunya dikenali sebagai Ulu Kelantan dan dijadikan sebagai masjid bandar iaitu masjid besar dalam suatu daerah atau jajahan. Masjid baharu ini mula dibina pada April 2016. Masjid yang berkeluasan 99,000 kaki persegi ini bernilai lebih RM32 juta. Masjid ini dibina menyerupai model Masjidil Haram di Makkah yang mana idea tersebut datang daripada YBM Tengku Razaleigh Tengku Hamzah yang merupakan Ahli Parlimen Gua Musang sendiri. Masjid dengan rekaan unik dan menarik menggunakan bahan binaan berkualiti tinggi termasuk jubin. Ia dibina di atas tapak Balai Polis Lama Gua Musang seluas 1.5 hektar. Bangunan baharu ini mampu menampung sehingga 3,500 orang jemaah termasuk kawasan halaman masjid. Masjid baharu ini dilengkapi sembilan buah menara setinggi 30 meter dan lapan buah kubah mirip Masjidil Haram di Makkah.


Menara Masjid yang Menyerupai 
Menara Masjidil Haram

Masjid ini juga mempunyai dua mihrab yang terdiri daripada Mihrab Dalam yang mana terletak di dewan solat utama, dan Mihrab Luar yang terletak di koridor masjid. Koridor Luar hanya digunakan jika imam perlu solat di luar dewan solat utama kerana limpahan jemaah, seperti solat sunat hari raya. Masjid ini juga mempunyai halaman menyerupai mataf  atau tempat tawaf yang bernama As-Sahn Asy-Syarif, serta mempunyai 15 buah pintu antaranya pintu Raja Fahd yang merupakan pintu utama masjid tersebut, pintu Marwah, pintu Umrah dan banyak lagi pintu yang dibina. Memandangkan masjid ini menyerupai Masjidil Haram yang juga digelar Al-Haram Al-Makki, maka masjid baharu ini juga digelar Al-Haram Al-Ghari sempena nama Gua Musang itu sendiri iaitu Gharistan. Terdapat juga sebilangan orang yang tersalah anggap bahawa masjid baharu ini menyerupai Masjid Nabawi di Madinah sedangkan ianya menyerupai Masjidil Haram di Makkah. Keunikan masjid ini sangat luar biasa menyebabkan masjid ini menjadi tarikan orang ramai.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Majlis Maulid Nabi Memberi Ketenangan?

KRITIKAN TERHADAP DRAMA "TERHENTINYA DOA"

SAJAK: CINTA RASULULLAH